"Saya Baru Saja Kehilangan Bonda Kesayangan Saya" - Tangis Iqbar Hakim Anak Pengasas Dnars

Pengasas Dnars Disahkan Meninggal Dunia


"Saya Baru Saja Kehilangan Bonda Kesayangan Saya" - Tangis Iqbar Hakim Anak Pengasas Dnars

SABTU, 18 MEI 2019 - Malaysia dikejutkan dengan berita sedih iaitu Pengasas produk kosmetik Dnars, Faziani Rohban Ahmad, 40, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh anaknya, Iqbar Hakim, menerusi akaun Instagramnya dan turut dikongsikan semula oleh Buletin TV3 sebentar tadi dan beliau kini dalam perjalanan pulang ke kampung.

"Assalamualaikum semua, saya ada berita kurang gembira. Saya baru saja kehilangan bonda kesayangan saya, disebabkan kemalangan.

"Sekarang saya dalam perjalanan pulang ke kampung. Kepada semua kalau boleh, sedekahkan Al-Fatihah kepada mummy saya, Faziani Rohban Ahmad, semoga ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman," kata Iqbar Hakim dengan nada sebak.


Berita sedih ini, turut mendapat perhatian ramai khususnya para selebriti dan usahawan terkenal yang pernah mengenali Allahyarham Faziani seperti Sheila Rusly, Sifu Jamal SifuFBads, Meor Fazrul Cikgu Meow, Datuk Seri Vida dan ramai lagi menerusi akaun media sosial masing-masing.





Usahawan kosmetik itu dikatakan meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand pada pagi Sabtu sebentar tadi.

Menurut laporan MStar, rakan baik Faziani, Natasha Maria Akhmad berkata, kejadian berlaku membabitkan sebuah lori dan kereta yang dinaiki pengasas produk kesihatan dan kecantikan Dnars itu.

Natasha yang mengenali Faziani lebih 12 tahun dimaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi Sabtu waktu Malaysia.

“Kemalangan berlaku semasa Faziani dalam perjalanan ke rumah anak-anak tahfiz bagi memberikan sumbangan. Beliau meninggal dunia di tempat kejadian.

“Suami Faziani, Ahmad Shah Rizal Ibrahim turut terlibat dalam kemalangan tetapi hanya mengalami kecederaan dan beliau yang memaklumkan kepada saya mengenai berita sedih ini,” katanya.

"Suami Faziani dibawa ke Hospital Pattani dan urusan untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia sedang dijalankan," kata Natasha dengan nada sebak.

Comments